April 08, 2015

SIAPAKAH AIDANA BAIZIEVA??

SEMENYIH – Selepas empat hari kejadian nahas helikopter di Kampung Pasir Baru di sini berlaku, semalam pihak polis mengesahkan Aidana Baizieva merupakan kenalan kepada juruterbang Kapten Clifford Fournier.
Aidana, 25, disahkan sebagai gadis berasal dari Kyrgyzstan dan telah memasuki negara ini sejak 2010.
Sejak berada di negara ini, mangsa pernah belajar di Universiti Sunway di Subang Jaya, Universiti Limkokwing di Cyberjaya dan terakhir Kolej SEGi di Kota Damansara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, identiti gadis itu dapat disahkan selepas pihaknya melakukan siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada rakan-rakan mangsa.
Menurut beliau, Aidana tinggal di sebuah apartmen di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan pemeriksaan di kediaman tersebut menjumpai beberapa barang yang membuktikan identitinya.
“Bukti Aidana dikatakan kenalan rapat Clifford berdasarkan tiket penerbangan atas nama mangsa (Aidana) dan juruterbang itu berlepas ke Langkawi pada 21 Mac lalu ketika berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi,” kata beliau pada sidang akhbar di bilik operasi pasukan penyelamat nahas helikopter di sini semalam.
Abdul Samah memberitahu, walaupun polis mengesahkan identiti mangsa menerusi siasatan namun pihaknya terpaksa menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ­mangsa dengan kakak tirinya.
“Jika DNA kakak tiri mangsa gagal dipadankan dengan Ai­dana, kita akan minta bapa gadis itu datang ke sini melakukan DNA,” kata beliau.
Bapa Aidana sudah berusia 75 tahun dan berada di Kyrgyzstan.
Mengulas lanjut, kata Abdul Samah, helikopter AS365N2 Dauphin bukan helikopter pertama mangsa menaiki bersama Clifford.
“Selain itu, maklumat daripada pihak pengurusan kediaman Aidana, dimaklumkan Clifford mempunyai akses untuk memasuki rumah mangsa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3WgAyy0Vw 
Hakcipta terpelihara 

No comments: