July 27, 2013

MAKLUMAT PERTAMA BUKANNYA SELALU BENAR.... SELAMAT BERBUKA HARI INI

‘Makan dalam tandas,’ lahirkan persepsi salah

Manusia biasanya terpengaruh dengan maklumat pertama yang mereka terima. Mereka akan lebih percaya maklumat ini walaupun ada maklumat kedua datang yang bertentangan dengannya.
Itulah yang terjadi kepada kes 'kantin dalam tandas' Sekolah Kebangsaan Sri Pristana, Sungai Buloh.

Apabila seorang ibu bukan Islam terjumpa anaknya sedang makan dalam satu bilik persalinan di sekolah dan di bulan puasa, terus tergambar di kepalanya seolah-olah, anak dan rakan-rakannya yang bukan Islam diasingkan untuk makan di bulan puasa. Kononnya tindakan dibuat untuk menghormati kanak-kanak lain yang beragama Islam yang sedang berpuasa.
Lalu beliau masukkan gambar dan persepsi ini dalam laman sosial Facebook.
Pembaca pula terus terbayang begitu juga. Kanak-kanak bukan Islam diasingkan oleh pentadbiran sekolah yang beragama Islam supaya makan di bilik tertutup, dan tandas dipilih untuk menempatkan mereka.
Maka lahirlah persepsi kepada seluruh negara, kanak-kanak sekolah bukan Islam diasingkan untuk makan di bulan puasa dan tandas dipilih sebagai tempatnya.
Inilah yang berlaku dalam kes SK Sri Pristana ini.
Namun, sebagaimana dijangka, itu bukanlah cerita sebenarnya. Ia disahkan oleh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mejar Hardeep Singh kepada The Malaysian Insider.
Mungkin kalau AJK beragama Islam memberitahu perkara yang sama, ramai yang tidak percaya dengannya. Ia seolah-olah mahu membela pihak pentadbiran sekolahnya.

Tetapi apabila Hardeep yang bercerita, ia menjadikan cerita ini dipercayai sebagai betul.
Inilah nasib Malaysia. Salah sangka dan perasaan salah faham antara kaum terlalu menebal. Semua perkara berlaku terlalu dilihat daripada perspektif kaum dan agama. Mungkin ini reaksi bukan Melayu dan bukan Islam kepada sikap dan lagak yang ditunjukkan oleh orang Melayu dan Islam yang terlalu ekstrim sebelum ini.
Isu perarakan kepala lembu di perkarangan pejabat SUK Selangor dan ugutan membakar bible yang berbahasa Melayu sudah pasti menyumbang kepada perkara ini. Begitu juga sikap sesetengah pemimpin PAS dalam sesuatu perkara, ia melahirkan salah faham mereka.
"Memang guru besar sekolah ini penyokong kuat Umno. Tetapi dalam kes ini, dia tidak salah dan saya akan membela dia," kata seorang aktivis PAS Cawangan Sri Pristana yang juga seorang bapa kepada murid di sekolah ini kepada The Malaysian Insider.
Sebagaimana kenyataan Hardeep, beliau memberitahu, pelajar sekolah ini menggunakan bilik persalinan yang tidak digunakan ini sejak Mac tahun ini lagi. Ketika itu belum masuk bulan Ramadan di mana umat Islam berpuasa.
Pihak sekolah mengemaskan bilik itu dan meletakkan meja dan kerusi. Di situ tidak ada tandas hanya bilik mandi yang tidak digunakan.
Ia digunakan sebagai tambahan kepada kantin yang ada. Semua kanak-kanak sekolah ini, Islam dan bukan Islam, Melayu, India dan Cina menggunakan bilik ini untuk makan sebagai tambahan kepada kantin sekolah.
"Kantin sekolah ini sempit untuk menampung pertambahan pelajar yang mendadak di kawasan ini. Sebelum ini, ramai pelajar yang makan tepi longkang, tepi jalan pada waktu rehat. Jadi Guru Besar ni ambil inisiatif untuk gunakan bilik persalinan yang tidak digunakan itu sebagai tempat makan," katanya.
Namun cerita ini menjadi lain apabila gambarnya disiarkan buat pertama kalinya seolah-olah mereka dipaksa makan di dalam kawasan tandas di bulan Ramadhan untuk menghormati orang yang berpuasa di luar.
Akibat persepsi dan gambaran salah ini, semua media terutama berbahasa Inggeris dan Mandarin menyiarkan gambar kanak-kanak sekolah makan dalam tandas di bulan puasa ini di muka depan akhbar mereka.
Maka berlakulah apa yang berlaku.
Guru Besar sekolah ini Mohamad Nasir Mohd Noor menjadi sasaran kebencian banyak pihak. Bukan setakat cacian bahkan beliau juga menerima ugutan bunuh.
Padahal beliau cuba untuk membuat yang terbaik untuk pelajarnya dengan ruang yang ada.

No comments: