June 19, 2013

MEDAN PUTERI FOOD COURT SEKARANG SUDAH ADA DAYA TARIKAN.... MPS DI GESA TERIMA CADANGAN BINA FOOD COURT DI SETIAP BLOK BANDAR TASIK PUTERI

Seramai 23 peniaga warung yang beroperasi di kawasan parkir Medan Puteri, Bandar Tasik Puteri (BTP), di sini merayu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menimbang semula notis berpindah yang dikeluarkan terhadap mereka.

“Banyak masalah akan timbul, bukan kepada kami sahaja, malah kepada pelanggan. Saya bimbang jika pelanggan kurang atau kerana terlalu banyak orang berniaga di sana, nanti ada yang tidak mampu nak bayar sewa RM450 sebulan dan terus kena ‘tendang’,” kata

Pengerusi Persatuan Kebajikan Peniaga-peniaga Bumiputera dan Penjaja-penjaja Pasar Malam Bandar Tasik Puteri Rawang (PPBPPMBTP), Mansor Hashim.

Menurutnya, Medan Puteri, di mana mereka beroperasi sekarang adalah lokasi paling strategik sekali gus menjadi nadi yang menghidupkan BTP secara keseluruhan.

“Medan ini seperti pintu masuk ke BTP. Bayangkanlah jika semua gerai ditutup terutama pada waktu malam, kawasan ini akan ‘mati’, sudah tentu akan menjejaskan imej BTP terutama bagi orang luar yang baru pertama kali berkunjung,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mansor, kewujudan gerai di Medan Puteri boleh dianggap ‘penyelamat’ bagi keadaan itu.


Sudah ada pengunjung tetap

Setiausaha PPBPPMBTP, Azizan Man berkata, kedudukan Medan Puteri yang strategik dalam kawasan pusat perniagaan BTP memudahkan orang ramai terutama pengunjung luar.

“Kami bukan sengaja nak ingkar, tetapi sebagai peniaga yang sudah 10 tahun berniaga, di sini kami tahu apa yang lebih baik bukan untuk peniaga semata-mata, tetapi juga seluruh masyarakat BTP.

“Kewujudan gerai di Medan Puteri yang beroperasi hingga 24 jam memudahkan orang ramai terutama yang pulang kerja lewat,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih perlu dilakukan ialah menaik taraf Medan Puteri dengan menyediakan lebih banyak kemudahan seperti tandas awam.

“Itu yang lebih baik. Memang saya akui keadaan sekarang kurang elok bagi pandangan mata, maklumlah gerai masing-masing sendiri yang buat, tetapi kalau MPS boleh buat yang lebih baik, seragam dengan segala kemudahan, kami setuju, kena bayar sewa pun tak mengapa,” katanya.

Pemilik warung roti canai Sri Puteri, Zol Nordin berkata, jika Medan Puteri dinaik taraf, masalah kebersihan tidak akan timbul.

“Jika gerai di kawasan ini dibina secara tersusun dan seragam, tahulah kami untuk menjaganya,” katanya.

Menurut Zol, Medan Puteri memang menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu.

“Pada hujung minggu, di sinilah tempat berkumpul kumpulan penggemar aktiviti lasak ‘mountain bike’ dan juga ‘motorcross’. Saya sendiri ahli kumpulan motosikal berkuasa tinggi dan ramai kawan-kawan saya selalu datang melepak, di sini. Mereka sukakan tempat ini
kerana ada parkir luas untuk motosikal,” katanya.

No comments: