April 04, 2013

DS ANWAR ~ DS WAN AZIZAH DAN NURUL IZZAH ADA KEUPAYAAN SENDIRI

anwar pc close 01

SHAH ALAM 3 APRIL : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan wujudnya elemen nepotisme di dalam parti itu kerana isteri dan anak sulungnya menyandang jawatan tertinggi berasaskan keupayaan dan semangat juang.
Jelas Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mula mengambilalih kepimpinan parti itu ketika Anwar dipenjarakan selama enam tahun.
“Manakala anak saya Nurul Izzah telah melalui liku-liku yang mencabar dan bukannya seorang puteri raja yang memperolehi berbilion ringgit dan pelbagai kelebihan.
“Dan beliau juga menghadapi kesukaran juga ketika untuk memasuki universiti dan menghadapi serangan daripada pelbagai sudut.
“Kita berada di sini berdasarkan perjuangan dan boleh bandingkan (antara kita dan) mereka yang kaya dan terkenal.
“Saya serahkan soal ini kepada rakyat Malaysia untuk menentukan dan memberikan peluang sepertimana rakyat Malaysia yang lain,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Televisyen Antarabangsa Al-Jazeera secara langsung pada jam 6.15 petang Waktu Malaysia.
Menjawab soalan lain, Anwar berkata gabungan parti PKR-PAS-DAP adalah mantap berasaskan kejayaan mentadbir empat negeri Pakatan Rakyat sepanjang lima tahun lepas.

“Kita melihat Pakatan Rakyat bekerjasama dan telah terbukti dalam soal pentadbiran kerajaan dan akauntabiliti sepertimana yang ditunjukkan di Selangor dan Pulau Pinang.
“Jadi soal perbezaan antara DAP, PAS Dan PKR lebih kepada akademik, ia ada perbezaan tetapi ia tidak merubah halatuju seperti mana gabungan politik di negara-negara lain kerana kita mempunyai agenda yang jelas,” kata Anwar.
Anwar, yakin Pakatan Rakyat berkeupayaan membawa perubahan ekonomi, memerangi rasuah dan membawa negara kepada sistem yang lebih demokratik.
Katanya, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengamalkan dasar ekonomi yang ‘flip-flop’ dan gagal menguruskan hutang negara dengan baik sehingga menyebabkan defisit RM 400 bilion.
“Untuk meletakkan kesalahan kepada Pakatan Rakyat adalah tidak boleh diterima dan kerajaan yang berkuasa perlu memberikan penjelasan.
“Apa yang lebih penting sekarang ialah memerangi rasuah dan memastikan negara ditadbir secara transparen dan sebaik mungkin,” kata Anwar.

No comments: