February 01, 2013

MAHADER SEBUT NAMA ANWAR PULAK DALAM KES PROJEK IC. AZMIN ALI ADA PERANAN TAK?

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir hari ini mengakui bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam memberikan kad pengenalan (IC) dan kewarganegaraan kepada pendatang asing haram di Sabah walaupun tidak disuruh oleh beliau.
Dr Mahathir memberitahu beliau tidak pernah memberikan sebarang arahan kepada bekas timbalan perdana menteri itu semasa pentadbirannya untuk mengarahkan pegawai di Sabah memberikan IC dengan sewenang-wenangnya.
"Dia (Anwar) selalu mengambil langkah sendiri, kadangkala lebih daripada yang diarahkan.
"Selalu yang berlaku berbeza sama sekali dengan arahan daripada pihak atasan," kata beliau.
Menurut Dr Mahathir (gambar) lagi, pegawai yang bertanggungjawab dalam projek IC di Sabah telahpun didakwa di mahkamah dan kerajaan telahpun mengambil tindakan keatas individu tersebut.
Dalam pada itu, ahli politik veteran negara tersebut juga menegaskan Anwar mempunyai kuasa dalam isu pemberian IC di Sabah dan arahan datang bukan daripada beliau yang mentadbir negara ketika itu.
"Dia telah campur tangan dalam isu tersebut," kata Dr Mahathir sambil menambah perkara yang berlaku merupakan salahguna kuasa dan telah dilaksanakan tidak mengikut lunas perundangan.
Dr Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka. Dalam sidang media pada 17 Januari lalu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali mendedahkan terdapat rancangan untuk mengaitkan dan melibatkan ketua pembangkang tersebut dalam "Projek IC" di Sabah dan mereka akan memantau prosiding Suruhanjaya Di Raja (RCI) yang sedang berlangsung ketika ini.
Anwar Ibrahim minggu lalu turut menafikan bahawa beliau terlibat dengan projek IC di Sabah, dan bersedia untuk menjawab jika inkuiri RCI mengenai pendatang asing di Sabah itu memanggil beliau untuk memberi keterangan.
Menurut ketua pembangkang itu, sepanjang beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak pernah terlibat secara langsung dalam hal tersebut dan menamakan bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Tan Sri Aziz Shamsuddin, dan bekas timbalan menteri dalam negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, sebagai peneraju utama projek tersebut.
"Saya sedia memberi keterangan jika dipanggil, saya yakin bahawa tidak ada apa-apa dengan saya," kata Anwar (gambar) dalam sidang media di ibu pejabat PKR.
"Saya yakin saya tidak mempunyai kaitan langsung."
Pada tahun 1993-1994, Anwar ketika itu berkhidmat bersama kerajaan Umno-Barisan Nasional memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada tahun 1998 atas tuduhan skandal seks dan rasuah.
Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 hingga 1985, menafikan kewujudan "Projek IC" tersebut.

No comments: