July 20, 2012

PRU13 dalam bulan Oktober?



Tempoh selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada Oktober adalah masa terbaik mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata seorang pengamat politik.Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata walaupun dalam November banyak cuti sekolah, ketika itu sudah mula musim tengkujuh terutamanya di kawasan Pantai Timur.”Saya anggap Oktober antara masa yang sesuai, selepas Hari Raya.”Bagaimanapun, tidak mustahil kerana pada 1999 pilihan raya umum diadakan pada November,” katanya yang ditukil Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas harapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar PRU-13 tidak diadakan pada tahun depan memandangkan tahun ini merupakan tahun paling sesuai mengadakannya.
Dr Sivamurugan berkata tidak salah sekiranya Tan Sri Muhyiddin memberikan pendapat kerana bersesuaian dengan kapasiti beliau sebagai orang kedua terpenting dalam pentadbiran negara.
Katanya, Tan Sri Muhyiddin memberi gambaran itu berdasarkan faktor dalaman dan luaran.
“Tafsiran itu dibuat berdasarkan penelitian beliau selepas bertemu pemimpin Barisan Nasional (BN) dan rakyat. Keadaan itu mempengaruhi kenyataan beliau (Ahad lalu).
“Saya percaya beliau ada sebab berkata demikian. Lebih daripada itu, beliau mahu jentera BN sentiasa berada dalam keadaan bersedia,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Encik Ibrahim Suffian, berkata beliau tidak melihat pandangan Tan Sri Muhyiddin itu menggambarkan wujudnya masalah besar antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya melihat apa yang diperkatakan oleh Muhyiddin sebagai satu mesej tersirat kepada ahli-ahli Umno bahawa mereka perlu terus membuat persiapan bagi menghadapi PRU-13,” katanya.
Menurutnya, Tan Sri Muhyiddin mahu mengajak ahli Umno yang kelihatan sudah ‘lemah semangat’ supaya terus mengekalkan momentum dengan mengambil kira PRU-13 boleh diadakan bila-bila masa.
“Mesej Muhyiddin mudah dan terus terang kepada ahli parti,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, Tan Sri Muhyiddin, dalam mesyuarat agung Umno bahagian Batu pada Ahad lalu, didakwa menuduh parti komponen BN – khususnya Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) – gagal memahami sentimen golongan Cina dan India.
Dalam satu kenyataan balas, timbalan presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu gagal memahami rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Beliau kata MIC dan MCA tidak memahami suara rakyat. Pada pendapat saya, Timbalan Perdana Menteri mesti memahami suara semua rakyat, bukan mendengar daripada orang Melayu,” katanya yang dipetik Oriental Daily.

No comments: