April 22, 2012

SELANGOR AKAN LAKUKAN "PROGRAM BERSIH" DAFTAR PENGUNDI ~ KHALID IBRAHIM

SELAYANG – Kerajaan Negeri akan melancarkan Program Bersih Selangor dalam masa terdekat bagi membuat semakan selepas negeri itu mencatatkan peningkatan mendadak jumlah pengundi baru.
Selangor mengumumkan langkah ini sementara desa-desus menyebut Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan berlangsung dalam waktu terdekat.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program yang fokus siri jelajah akan membuat semakan pengundi baru sama ada wujud di sesebuah bahagian pilihan raya.
“Contohnya, pengundi baru menggunakan alamat tingkat tujuh yang tidak wujud, bagaimana nak cari tangga untuk ke tingkat tujuh sedangkan rumah pangsa berkenaan hanya lima tingkat,” katanya.
“SPR sendiri mengakui terdapat kekeliruan alamat pengundi baru,” katanya pada Majlis Undian Rumah Berkembar Bukit Botak, semalam.
Minggu lalu, rombongan Kerajaan Negeri, dengan diketuai beliau sendiri, telah mengadakan pertemuan dengan SPR di Putrajaya.
Abdul Khalid berkata, program berkenaan juga memberi penerangan kepada rakyat tentang kawasan sebenar sepatutnya mereka undi.
Beliau berkata, pihaknya menghormati hak rakyat dan tidak takut dengan hak rakyat mengundi kerana ia merupakan salah satu elemen dalam sistem demokrasi di Malaysia tetapi perlu memastikan tanggungjawab itu dilaksanakan oleh orang yang betul dan layak.
“Rakyat telah membuat pembaharuan pada 2008, kita mahukan pilihan raya akan datang dibuat dengan cara yang betul dan adil dengan pastikan hanya rakyat yang benar-benar layak sahaja yang mengundi untuk wakil pentadbiran di Selangor.
“Siri jelajah akan dimulakan di Batang Kali sebelum mengenal pasti beberapa kawasan lain yang dirasakan perlu sehingga sampai ke seluruh Selangor,” katanya.
Kata beliau, setakat ini pihaknya mengenal pasti dua kawasan yang menunjukkan trend peningkatan jumlah pengundi baru melibatkan Batang Kali dan Seri Serdang.
Menurutnya, dalam tempoh empat tahun bermula 2008, Batang kali mencatat jumlah pengundi baru 8,000 orang belum dikenal pasti identiti dan alamatnya, serta telah arahkan ketua kampung dan jabatan kerajaan membuat semakan.
“Kawasan ini terpencil dan jauh kerana terletak di Hulu Selangor yang jumlah pengundi kurang 5,000 orang, tetapi meningkat kepada 8,000 dalam tempoh pentadbiran Pakatan Rakyat.
“Dalam tempoh sama, Seri Serdang mencatat jumlah pengundi baru kepada 12,000 dan tidak menafikan hak rakyat sebagai pengundi tetapi perlu dipastikan mereka yang mengundi benar-benar layak,” katanya

No comments: