February 09, 2012

BAZAR JALAN JELATEK AMPANG DIARAH TUTUP ~ FAEKAH

SHAH ALAM, 9 Feb: Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Bazar Larut Jalan Jelatek Ampang ditutup serta merta kerana gagal menarik pengunjung.

Penganjur bazar itu pula, Persatuan Wanita Ampang diarah membayar wang deposit berjumlah RM16,160 kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Kerajaan Negeri juga mengarahkan MPAJ mengutip semua hutang tertunggak daripada Persatuan Wanita Ampang yang diketuai Puan Salmah Ismail, walaupun terpaksa menggunakan saluran undang-undang.

Setiausaha Politik kepada YAB Datuk Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 21 Disember 2011 selepas mendapati Bazar Larut Malam itu gagal mencapat matlamat asal.

“MPAJ juga diberi amaran keras agar tidak lagi membenarkan mana-mana persatuan mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) menganjur projek serupa sebelum mengenalpasti kemampuan pemohon/penganjur.

“Keputusan tegas ahli MTES antara lain mengingatkan semua PBT untuk tidak sewenang-wenangnya mempercayaai mana-mana persatuan atau NGO untuk mengendali projek tanpa menyelidik kebolehan persatuan tersebut,” kata Faekah.

Beliau mengulas surat pembaca yang ditulis oleh Hakim Joe yang disiarkan di laman portal berita Malaysia Today yang bertajuk Power vs Authority yang disiarkan semalam. Hakim Joe mendakwa wujudnya pengaruh politik dalam pemberian konsesi pengendalian pasar malam atau bazar tersebut dan terdapat pengaruh parti politik dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika membendung salah guna kuasa yang dikatakan telah berlaku.

“Penjelasan ini membuktikan tiada salah guna kuasa yang dikatakan cuba ditutup oleh kerajaan negeri, tiada panggilan dan penyelesaian belakang yang dilakukan oleh Presiden mahupun Ketua Umum Parti Keadilan dalam menentukan keputusan seperti yang dikatakan penulis. Kalau tidak,  masakan keputusan tegas boleh diambil melalui mesyuarat terbuka MTES,” kata Faekah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai jika terdapat salah guna kuasa untuk memastikan negeri ini ditadbir dengan telus dan bertanggungjawab tetapi perlu disertakan dengan fakta-fakta tepat untuk mengelak fitnah.

“Menuduh Menteri Besar tunduk dengan arahan pimpinan parti yang mahu menutup amalan rasuah adalah tuduhan yang sangat berat dan tidak adil. Kerajaan Selangor sedang dengan segala daya melaksanakan prinsip pengasingan kuasa antara pentadbiran negeri dan parti yang mana kita lihat telah gagal dilaksanakan pemerintahan BN sehingga membawa kepada kejatuhannya di beberapa negeri termasuk Selangor,” katanya.

Faekah secara terbuka mengakui sukar melakukan reformasi dalam pentadbiran apabila terlalu banyak kepincangan sepanjang 52 tahun pemerintahan Barisan Nasional tetapi yakin Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya dengan usaha beterusan dan sokongan rakyat.

No comments: