January 26, 2012

NOH OMAR ~ TUDUHAN LIAR PEMBANGKANG KPD NFC

TANJONG KARANG – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) tidak gagal seperti mana dijelaskan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, sekaligus menafikan tuduhan liar pembangkang.


Malah beliau berkata, syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) sudah mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu mengeluarkan lebih 8,000 ekor lembu dalam tempoh tiga tahun sejak 2008 dan daripada jumlah itu, 5,742 ekor telah disembelih.

Katanya, punca lembu tidak dapat disembelih ialah kerana tiada pusat penyembelihan yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan kerana rumah penyembelihan yang dibina NFCorp hanya terhad kepada 100 lembu sehari sahaja.

“Penjelasan Ketua Audit Negara berhubung projek NFC adalah sama dengan penjelasan panjang yang saya berikan di Parlimen dahulu pada sesi penggulungan kementerian saya sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada para penerima yang layak di Bukit Belimbing, semalam.

Noh mengulas penjelasan Jabatan Audit Negara (JAN) semalam bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak menyebut perkataan seperti kucar-kacir ataupun penyelewengan dalam laporan

pengauditannya terhadap projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dilaporkan berkata, perkataan ini digunakan oleh pihak lain dan JAN tidak dipertanggungjawabkan.

Namun begitu, Noh mengakui kelewatan berlaku pada pelaksanaan projek tersebut yang bermula ketika proses hendak membersihkan tapak seluas 5,000 hektar di Negeri Sembilan iaitu sebanyak 1,500 hektar kepada NFCorp manakala 500 hektar diberikan kepada sebuah syarikat lain dan Kerajaan Negeri Sembilan mendapat 3,000 hektar.

"Nak membersihkan tapak ini sahaja yang dibuat melalui tender terbuka mengalami kelewatan setahun iaitu sepatutnya bermula pada 2007 tetapi dilaksanakan pada 2008," katanya.

Beliau berkata, pertikaian yang ditimbulkan pembangkang bahawa kerajaan mengeluarkan pinjaman sebanyak RM250 juta kepada NFCorp sebelum perjanjian dimeterai jelas menunjukkan mereka keliru.

Katanya, terdapat dua perjanjian dimeterai antara syarikat swasta tersebut dengan kerajaan iaitu pertama pada 6 Disember 2007 dengan Kementerian Kewangan membabitkan pinjaman berkenaan.

Satu lagi perjanjian pula membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang ditandatangani pada 8 Mac 2010 iaitu ketika beliau menerajui kementerian tersebut bagi mendapatkan persetujuan antara kedua belah pihak.

“Jadi tidak mungkin perjanjian belum ditandatangani duit (pinjaman) sudah dikeluarkan, jadi pembangkang twist (putar belit) bahawa perjanjian dibuat pada 2010 sedangkan perjanjian sebelum itu tidak disebut,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata sekiranya terdapat sebarang penyelewengan dalam projek berkenaan, kementerian menyerahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan.

“Projek tersebut tidak gagal, hanya kementerian perlu menyusun semula supaya ia dapat dilaksanakan sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian. Malangnya, pembangkang memutarbelitkan isu ini di dalam ceramah, blog dan surat khabar sehinggakan mengelirukan rakyat keliru dan menganggap projek ini milik kroni menteri.

“Saya berpendapat, langkah kerajaan dengan melantik sebuah firma audit bebas untuk menilai projek itu bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik dan memberikan gambaran sebenar berhubung projek berkenaan," katanya.

Penubuhan audit bebas ini juga katanya, akan dapat memperbetulkan salah faham terhadap kerajaan dan mengembalikan imej NFCorp yang dicemari tuduhan pihak tidak bertanggungjawab.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments: