March 11, 2011

Cemburu tindakan dalaman..perlu juga sebagai tanda sayang!!

Cemburu tindakan dalaman




DARI sudut psikologi, cemburu adalah perasaan sakit hati, marah, tidak percaya dan kurang yakin seseorang terhadap pasangan yang dicintai.
Biasanya, perasaan itu timbul lantaran sikap si suami atau isteri yang membayangkan pasangannya mempunyai hubungan istimewa dengan orang lain di luar pengetahuannya.
Pensyarah Kaunseling keluarga dan Perkahwinan, Fakulti kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani berkata, masalah cemburu di kalangan suami isteri sebenarnya berkait rapat dengan tindakan seseorang dari sudut dalaman dan luaran.
"Mungkin kerana terlalu sayangkan seseorang membuatkan dirinya terlalu menjaga sehingga dianggap keterlaluan,'' terangnya.
Penilaian dari kedua-dua sudut itu akan menentukan sama ada seseorang yang berperasaan cemburu itu mengalami masalah psikologi atau tidak.
"Jika masalah itu berpunca daripada aspek dalaman, ia mungkin terganggu dan sering kali menimbulkan perasaan bimbang, resah, gelisah dan syak wasangka terhadap pasangan.
"Tetapi, jika pasangan mempamerkan tindakan negatif antaranya mengecam dan memberontak, mereka dikatakan menunjukkan sifat cemburu itu dari aspek luaran," jelas Dr. Saedah.
Tegas beliau lagi, faktor yang menjadi penyumbang kepada masalah itu tidak banyak kaitannya dengan keegoan suami, tetapi kurangnya keyakinan dan kepercayaan kepada pasangan menyumbang kepada permasalahan berkenaan.
Beliau berkata, masalah makin meruncing apabila kurang persefahaman dan interaksi antara kedua-dua belah pihak.
Malah, kesan positif dan negatif boleh timbul daripada sifat cemburu itu.
''Positif jika perasaan berkenaan dapat menghalang seseorang itu daripada berlaku curang terhadap pasangannya.
"Bagaimanapun, perasaan cemburu yang tidak terkawal sering kali membawa kepada perlakuan di luar batas kemanusiaan antaranya bertindak memukul dan mendera isteri,'' ujar Dr. Saedah.
Katanya lagi, sikap cemburu yang membabi buta boleh menjadi satu bentuk tekanan perasaan jika tidak boleh dikawal dan tidak mustahil ia mampu membawa kepada masalah yang lebih besar seperti jenayah.
Jelas beliau, tekanan perasaan boleh diselesaikan, namun ia terpulang bagaimana individu tersebut melihat cemburu sebagai masalah kepada mereka.
"Untuk menyelesaikan masalah cemburu ini, individu perlu memastikan punca yang mencetuskan rasa cemburu dalam dirinya.
"Apabila sudah dapat punca, mereka boleh mengatasi tekanan cemburu itu dengan dua kaedah berbeza iaitu memilih untuk menyelesaikan masalah yang menjadi penyebab cemburu ataupun memilih untuk mengawal emosi daripada menjadi cemburu," katanya.
Dalam hubungan ini, Dr. Saedah berkata, apabila seseorang itu sudah berkahwin perlu menanamkan sifat kesetiaan kepada pasangannya.
Malah, keyakinan, perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan itu serba sedikit akan mengurangkan perasaan cemburu suami atau isteri.
Selain itu, tingkah laku sebagai isteri atau suami dan batas pergaulan dengan bukan mahram perlu dijaga dan diawasi setiap masa.
"Ikatan perkahwinan perlu ada sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Oleh itu, sebelum seseorang berkahwin, terlebih dulu kita digalakkan mengenali pasangan .
"Ini serba sedikit membantu supaya tidak mengalami pelbagai masalah selepas berkahwin kelak," kata Dr. Saedah.
Beliau berkata, dari aspek psikologi seseorang yang bersikap cemburu sebenarnya mempunyai sikap kurang yakin kepada diri sendiri dan sering kali berprasangka buruk kepada pasangannya.
"Perasaan yang kurang yakin itu mendorong dirinya untuk bertingkah laku sedemikian, sekiranya keadaan ini di kawal ia sekali gus dapat mengurang permasalahan ini,'' ujarnya.
Selain itu, pengalaman masa lampau yang buruk juga mempengaruhi seseorang itu bertindak menjadi cemburu.
"Mungkin ada kisah hitam pada diri mendorong dirinya lebih berhati-hati kepada pasangan sehingga menyebabkan dia menjadi terlalu cemburu,'' ujar Dr. Saedah.
Malah, faktor keistimewaan yang dimiliki oleh pasangan juga adalah antara menjadi punca kepada masalah ini.
Dalam Islam, suami perlu ada sifat cemburu dan sentiasa was-was kepada isteri. Begitu juga isteri.
Bagaimanapun tegasnya, keadaan itu perlu berada pada keadaan terkawal dan tidak memudaratkan diri sendiri serta hubungan suami isteri.
"Seharusnya, kedua-dua pihak harus menjaga hubungan dengan sebaiknya untuk mengelak masalah cemburu ini," katanya.
Tegas Dr. Saedah, tidak salah cemburu pada pasangan kerana cemburu juga merupakan tanda kita menyayangi pasangan tetapi haruslah ada tahapnya.

No comments: