March 07, 2011

agenda selangor untuk rakyat (ARUS) akan dilancarkan 26 Mac 2011 - TS Khalid Ibrahim

SHAH ALAM, 7 Mac: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin Buku Jingga dapat dilaksanakan sepenuh sebaik Pakatan Rakyat diberi kuasa memerintah negara kerana jumlah yang diperlukan tidak pun sampai RM12.5 bilion.
Beliau turut mengumumkan 26 Mac depan akan diadakan satu majlis pelancaran Agenda Selangor Untuk Rakyat (ARUS) yang mempunyai banyak lagi program kebajikan kepada rakyat akan didedahkan
Abdul Khalid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri berkata jumlah RM12.5 bilion itu bersangkut paut dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang kini sedang menjadi kes mahkamah melibatkan bekas dua menteri yang dikatakan menipu jemaah kabinet termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
"Sebenarnya di Selangor ini kita telah banyak melakukan program untuk rakyat sebagai kebajikan kepada mereka meskipun tidak terdapat pun di dalam Buku Jingga bererti kita bukan hanya berjanji tetapi telah melaksanakannya.
"Sepanjang tiga tahun Pakatan mentadbir Kerajaan Negeri Selangor ini, selain dari tujuh perkara utama di dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kita melakukan banyak perkara yang berkesan untuk rakyat negeri ini.
"Cumanya kita tidak mahu menyebutkan lebih banyak apa yang telah, sedang dan akan dibuat kerana ia hanya akan meningkatkan darah panas badan pemimpin BN," seloroh beliau sambil tersenyum disambut tepukan hadirin.
Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap melancarkan Buku Jingga dan Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang disambut sederhana di Stadium Malawati, malam semalam.
Turut berucap adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw dan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali.
Dalam isu sama, Abdul Khalid berkata, bila tidak berlaku rasuah dan kebocoran maka rakyat akan dapat manfaat yang banyak hasil daripada sistem pentadbiran yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor kini.

No comments: