February 25, 2011

Calon PAS: Hassanudin di Kerdau, Yuhaizad di Merlimau

Sumber dari Malaysiakini

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanudin Salim akan membawa cabaran parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan.
Manakala timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.
Pencalonan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kompleks PAS Kerdau malam ini.
Beliau merupakan bekas calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim.
Hassanudin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi.
Hasanuddin, 43, adalah seorang usahawan kelulusan diploma ukur tanah UiTM.
Turut hadir ialah timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, timbalan presiden PKR Azmin Ali, dan pemimpin DAP, Tan Seng Giaw.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hasanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh. Beliau mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.
Hasanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.
SPR menetapkan tarikh pengundian PRK Kerdau pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pula 26 Februari.
Sementara itu, Yuhaizad, 38, juga merupakan timbalan yang dipertua PAS Jasin.
Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat di Kampung Merlimau Pasir di sini semalam.

Merlimau by election pas candidate yuhaizat abdullah 240211 02Berusia 38 tahun, Yuhaizad memiliki Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (ILHAM), Selangor dan juga memperolehi Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Kemahiran Mara, Jasin.
Beliau terlibat di dalam bidang politik sepenuh masa dan adalah anak watan Merlimau serta seorang pemimpin muda yang dikenali ramai, mesra dan mudah dikenali.
Pengalaman luas dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B, Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia dan persatuan penduduk memastikan beliau menjadi aset kepada rakyat dan negeri sekiranya terpilih mewakili DUN Merlimau pada pilihan raya nanti.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

No comments: