February 27, 2011

AMAL BERI KHIDMAT BANTUAN KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN KEPASA SEMUA

KEJADIAN  bencana alam mahupun peperangan mengundang keprihatinan pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan. Tanpa mengira sempadan budaya, kaum, agama mahupun negara, banyak NGO yang bersedia menghulur tangan membantu mereka yang memerlukan.
Tidak terkecuali bagi Yayasan Amal Malaysia (AMAL), salah sebuah NGO yang aktif menjalankan misi bantuan kemanusiaan mahupun dakwah di negara ini.
Penubuhan AMAL
AMAL yang ditubuhkan pada 30 Mei 2001 adalah sebuah NGO berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan dan digerakkan oleh para sukarelawan daripada seluruh negara.
Mereka termasuklah daripada mereka yang bergelar doktor, paramedik, jurutera, akauntan, guru dan pelbagai profesion lagi.
Sehingga kini, AMAL telah memberi khidmat bantuan kebajikan dan kemanusiaan termasuk perkhidmatan perubatan dalam banyak misi antaranya gempa bumi di Ban Iran, wilayah Kashmir di Pakistan, Jawa Barat dan Jogjakarta di Indonesia selain tsunami di Acheh serta peperangan di Lubnan.
AMAL Selangor

Bagi Pengerusi AMAL Cawangan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, dalam banyak misi bantuan, sukarelawan AMAL di negeri itu antara yang menghantar anggota paling ramai.
Katanya, selain dianggotai sukarelawan berlatar belakang profesional, orang awam juga tidak ketinggalan untuk menyertai yayasan itu.
“Matlamat kita adalah untuk memberi kebajikan dan bantuan perubatan, justeru kita mengharapkan lebih ramai sukarelawan yang mewakili setiap bidang akan menyertai AMAL,” katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Beliau berkata dalam misi-misi kemanusiaan yang dijalankan, sukarelawan akan memberi sumbangan idea dan tenaga dalam membantu masyarakat yang dilanda musibah.
“Misalnya ketika tsunami di Acheh, kita telah mendirikan masjid dan rumah anak yatim dan kita mendapat sumbangan idea daripada jurutera kita bagaimana membuat rekabentuk berkenaan,” katanya.
Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata AMAL juga turut mendirikan rumah-rumah penempatan dan sekolah sementara dalam misi yang dijalankan.
Menurut beliau, selain membantu mangsa-mangsa bencana alam dan peperangan, AMAL Selangor juga terlibat dalam misi kebajikan di Kemboja.
“Kita adakan program ini setiap penghujung tahun di mana kita jalankan program berkhatan dan ibadah korban di sana. Setakat ini kira-kira 30 ekor lembu telah dikorbankan,” katanya.
Selain misi kemanusiaan di luar negara, kejadian bencana alam seperti banjir dan ribut di dalam negara turut mendapat perhatian. Antaranya kes banjir di Shah Alam, tanah runtuh di Ampang dan Selayang, ribut di Sungai Besar dan Selat Klang serta banjir di Johor dan Kedah.
Beliau menambah AMAL Cawangan Selangor turut mengadakan program-program dakwah dan perkhidmatan kesihatan. Antaranya bersama dengan penduduk di Pulau Ketam.
Di samping itu, pihaknya turut menjalankan misi dakwah di Sabah dan Sarawak.
“Kita turut menghantar pelajar dari negeri-negeri berkenaan untuk mempelajari ilmu agama di sekolah-sekolah pondok di Kedah dan Kelantan,” katanya.
Beliau berharap AMAL Cawangan Selangor dapat menarik penyertaan lebih ramai sukarelawan yang kini berjumlah hampir 150 orang.
“Matlamat kita ini adalah untuk menarik lebih ramai sukarelawan. Ramai keahlian sahaja pun tidak mencukupi kerana kita mahu mereka terlibat dalam misi-misi yang kita jalankan,” katanya.
AMAL hargai bantuan Selangor
Kerajaan negeri Selangor baru-baru ini mengumumkan untuk menghantar misi kemanusiaan ke Palestin melalui AMAL lantaran perkembangan terbaru yang menyaksikan ratusan orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman Israel.
Misi kemanusiaan yang bermula 14 Januari lalu itu diketuai Naib Presiden AMAL, Dr Abd Rani Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru.
Misi pertama yang dijangka berakhir 20 Januari nanti, turut disertai Dr Ahmad Yunus, Timbalan Presiden AMAL, Jamuliddin Elias, Pengerusi AMAL, Husin Ismail dan seorang wartawan daripada Harakah Daily.
Dr Abd Rani berkata kerajaan negeri Selangor telah menghulurkan sebanyak RM500,000 dan pihaknya akan menyalurkan bantuan itu melalui beberapa misi yang akan dijalankan.
Katanya, dalam misi pertama ini pihaknya akan mengenalpasti bentuk bantuan yang diperlukan masyarakat Palestin.
“Walaupun kita diberitahu supaya tidak memasuki wilayah Gaza, tetapi saya akan cuba berusaha untuk mendekati wilayah itu untuk sampaikan bantuan wang ini. Kita juga membawa enam kotak ubat-ubatan dan kita akan kenalpasti bentuk-bentuk bantuan lain yang diperlukan masyarakat di sana,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berharap misi kemanusiaan yang dihulur pelbagai negara, dapat membuka mata negara-negara kuasa dunia agar menghentikan tindakan zalim Israel.
“Harapan kita juga agar pintu sempadan Gaza itu dibuka bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk,” katanya.
Dr Abd Rani juga berharap agar masyarakat Malaysia sentiasa menghargai nikmat keamanan dan kesepaduan yang ada sekarang ini.
“Janganlah kita berpecah kerana selagi kita bersatu-padu segala penyakit masyarakat akan dapat kita hindarkan,” katanya.
Sementara itu Dr Ahmad Yunus mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang dihulur kerajaan negeri bagi menggerakkan misi kemanusiaan ke Palestin.
Beliau berkata pasukan pertama misi kemanusiaan itu bersedia memberi perkhidmatan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin memandangkan situasi yang tidak menentu pada ketika ini.
Selain mengharapkan bantuan kewangan daripada orang ramai, beliau berharap rakyat Malaysia akan terus berdoa agar kekejaman ke atas rakyat Palestin ini dapat dihentikan.
Mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan menghubungi AMAL Cawangan Selangor di alamat No 12 Jalan 6, Taman Mesra, Batu 13, Jalan Cheras, 43000 Kajang, Selangor di talian 03-87373909 atau layari www.amalmalaysia.net untuk maklumat lanjut. – NOOR ALLIA KASSIM
Bagi yang ingin menghulur sumbangan kewangan boleh berbuat demikian di nombor akaun Bank Muamalat : 12020001711713 atau Maybank : 562106222825.

No comments: