July 19, 2010

PAS bersedia ambilalih kepimpinan melayu di Selangor...

SHAH ALAM – Pimpinan Pas di pelbagai peringkat termasuk akar umbi kini sudah bersedia mengambil alih saki baki amanah kepimpinan Melayu yang dipegang UMNO di Selangor untuk digantikan dengan kepimpinan Islam yang lebih adil dan meyakinkan seluruh masyarakat. Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pas Selangor memberi jaminan pada orang Melayu di negeri ini agar jangan bimbang dan khuatir sekiranya UMNO hilang kuasa kerana kuasa politik itu akan kembali ke tangan pimpinan Melayu dalam Pas dan PKR yang lebih jujur dan bersih dalam memimpin agama, bangsa dan negeri ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu cadangan kerjasama Pas-UMNO yang dimainkan media demi perpaduan dan kepentingan Melayu.
Menurutnya, isu perpaduan Melayu yang dijanjikan adalah agenda politik UMNO dan ia tidak relevan bagi Pas Selangor.
“Pas Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan UMNO semata-mata untuk memecahkan perpaduan erat dalam Pakatan Rakyat (PR) khasnya di Selangor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Roslan, sejak Mac 2008 sehingga kini, Pas Selangor semakin selesa dan begitu komited dalam memperteguh kerajaan PR Selangor yang didokong bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP lantaran menghormati mandat yang telah diberikan rakyat.
“Orang-orang Melayu di Selangor kini semakin terbuka dan dapat menerima kesungguhan dan keikhlasan pimpinan Pas dalam memimpin mereka.
“UMNO di Selangor pula semakin dipinggirkan dan tidak mustahil dengan rekod cemerlang kerajaan PR yang didokong Pas, UMNO Selangor akan terus ditolak khasnya oleh orang Melayu sendiri,” katanya.





No comments: