June 02, 2010

SEGERAKAN USUL KUTUK ISRAEL... DS ANWAR

Berikutan desakan Pakatan Rakyat agar Dato’ Sri Najib Razak mengambil tindakan tegas berhubung isu serangan Israel ke atas konvoi keamanan, saya difahamkan kabinet hari ini bersetuju untuk membentangkan satu usul bagi mengecam keganasan tersebut pada hari Isnin minggu depan.
Namun demikian, pada pandangan saya adalah lebih baik YAB Perdana Menteri memanggil satu sidang khas parlimen pada esok hari atau hari Jumaat. Dato’ Sri Najib boleh memaklumkan kepada Tuan Yang Di Pertua Dewan di bawah perkara 11(3) Peraturan Tetap Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membahaskan isu ini. Kita semua bersetuju serangan ke atas konvoi keamanan itu merupakan jenayah kemanusiaan. Kemarahan serta kekesalan ini dikongsi oleh mereka yang mempunyai nurani, tanpa mengira ras mahupun kepercayaan.
Kita juga berharap Dato’ Sri Najib hadir ke persidangan meja bulat, jam 11.30 pagi di Kampung Baru, Jumaat ini. Persidangan tersebut turut menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Kita tidak boleh berlengah dan mesti segera mengecam jenayah kemanusiaan yang mengorbankan 19 nyawa itu.
ANWAR IBRAHIM

No comments: