May 31, 2010

TS KHALID TERIMA KRITIKAN DI KONGRES PKR

KOTA BHARU, 30 Mei: Biar pun menjadi sasaran kritikan dan teguran perwakilan di Kongres PKR kali ini, namun ia diterima dengan dada terbuka oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Malah disifatkan segala teguran yang dilontarkan perwakilan boleh menjadi panduan kepadanya untuk memacu Selangor ke arah lebih cemerlang.

Ketika menggulung perbahasan petang ini katanya, sepanjang tempoh pentadbirannya sebanyak 105 mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) sentiasa dibaca doa bagi mengelakkan ada Exco negeri terbabit dengan gejala rasuah.

"Pelbagai serangan termasuk isu pasir tetap saya hadapi dengan tabah. Malah kerajaan Selangor masih lagi dapat bertahan bagi melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Khalid juga bersetuju beberapa saranan perwakilan seperti mewujudkan sebuah portfolio penerangan negeri bagi memberi penjelasan kepada rakyat di seluruh pelusuk Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor juga akan membuka ruang kepada golongan muda menyertai pentadbiran negeri termasuk di majlis kerajaan tempatan.

“Kita perlu mencontohi beberapa negara luar yang menggunakan sepenuhnya tenaga muda dalam pentadbiran parti dan negara iaitu mereka di bawah umur 45 tahun,” ujar beliau.

Beliau juga melihat ada ruang untuk melantik pengerusi jawatankuasa kampung bagi menggantikan program Exco Angkat di Dun-dun yang dimenangi pembangkang.

“Saya berharap tidak ada perebutan dan yakin ramai yang boleh buat kerja, jadi janganlah pilih kawan semata-mata bagi kepentingan peribadi kita,” katanya.

No comments: