May 11, 2010

Rasuah pasir: MB Selangor jumpa S Manikavasagam


SHAH ALAM, 11 Mei: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam berhubung dakwaan wujudnya rasuah di kalangan pegawai atasan dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Pertemuan ini akan membolehkan Ahli Parlimen Kapar itu membuat aduan secara rasmi berkenaan dakwaannya yang melibatkan pegawai atasan di KSSB serta mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik dalam memastikan syarikat berkenaan bebas dari rasuah.
Demikian beritahu Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Politik kepada MB Selangor dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila pertemuan ini akan diadakan tetapi memaklumkan, hasil pertemuan ini akan diumumkan pada sidang akhbar selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selesai bermesyuarat esok.Pertemuan ini diadakan ekoran dakwaan S Manikavasagam kononnya berlaku kegiatan rasuah di dalam anak syarikat kerajaan negeri yang mengendalikan urusan penjualan pasir di negeri ini.
Antaranya, beliau meminta kerajaan negeri mengambil tindakan sekurang-kurangnya ke atas tiga pegawai kanan di syarikat berkenaan.
Khalid sebelum ini meminta beliau memberikan bukti di atas dakwaan itu agar tindakan boleh diambil. Khalid juga berkata, pihak kerajaan bersedia untuk menyediakan bantuan guaman kepada anggota Parlimen itu untuk membantu beliau menyediakan laporan itu.
Menurut Nik Nazmi, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbirannya serta menyokong semua usaha untuk membanteras rasuah di semua peringkat.
Kerajaan Selangor juga, katanya, memandang berat dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Kapar itu dan berharap beliau membantu menyalurkan maklumat dan bukti yang lengkap supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.



No comments: