February 07, 2010

Dr Tan Yee Kiew - Kenyataan Nasir Safar Tanda Gagal 1Malaysia

Kenyataan rasis Datuk Nasir Safar, pegawai khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tanda kegagalan konsep dan pelaksanaan projek “1Malaysia” yang telah menelan berjuta-juta ringgit duit rakyat.
Haruslah jelas bahawa orang kanan Perdana Menteri itu telah mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu seminar “1Malaysia” di mana ianya merupakan satu program rasmi yang bertujuan untuk menerangkan konsep “1Malaysia”.

Adalah munasabah pihak penganjur menjemput Nasir untuk berucap dalam seminar tersebut atas nama pegawai khas kepada Perdana Menteri yang cukup layak untuk menjelaskan ide baru pentadbiran Najib itu.
Maka kenyataan rasis Nasir itu menunjukkan kegagalan pucuk pimpinan Barisan Nasional, khususnya Najib sendiri dalam menterjemahkan konsep “1Malaysia” ke dalam realiti masyarakat majmuk Malaysia.
Hari ini Najib terpaksa menerima hakikat bahawa orang kanannya sendiri pun tidak memahami ataupun bersetuju dengan konsep yang diwar-warkan olehnya sendiri, apatah lagi seluruh jentera pelaksana dan barisan pimpinan BN.
Hakikatnya konsep “1Malaysia” di dalam papan iklan, siaran radio dan televisyen, program indoktrinasi seperti seminar dan forum, dan papan tanda klinik kesihatan lebih bersifat kepentingan hiasan tingkap yang menghabiskan wang rakyat, dan bukannya kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Kini Nasir telah melepaskan jawatannya bagi menjaga imej Perdana Menteri. Namun Parti Keadilan Rakyat yakin rakyat akan menyokong perubahan dasar yang sebenar sepertimana dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat, dan bukannya perubahan slogan yang kosong.

Dr Tan Yee Kiew
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat

No comments: