February 27, 2010

Alfatihah kepada mangsa dera, adik Shafia Humairah Sahari - 4 tahun




Keluarga adik Shafia Humairah Sahari - 4 tahun berada diluar
Rumah mayat, Hospital Kuala Kubu Baru petang.
Allahyarham adik Shafia Humairah Sahari - 4 tahun
Ibu mangsa dera

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Sungguh tergamak hati segelintir manusia untuk berlaku kejam dan menyiksa kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun sehingga mati.
Apalah kanak-kanak malang itu tahu, sehingga menyebabkan dia dipukul dan diseksa sehingga menemui ajal.
Tanpa rasa kasih sayang, kanak-kanak perempuan ini, Syafia Humairah Sahari mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali malam tadi. Difahamkan, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak perempuan itu termasuk di bahagian dagu, perut dan bawah telinga. Kanak-kanak itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam tadi oleh teman lelaki ibunya, yang merupakan seorang pemandu teksi.
Pemandu teksi itu yang ditemani rakannya di hospital mendakwa kanak-kanak itu cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.
Jururawat yang memeriksa mangsa mencurigai sesuatu apabila lelaki tersebut seolah-olah resah dan tidak mahu memberi sebarang keterangan berhubung kemalangan itu.
Sebaliknya, dia mendakwa perlu meninggalkan kanak-kanak itu di hospital untuk bergegas ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kemalangan itu.
Bagaimanapun, perkara itu terbongkar apabila pihak hospital menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk mengetahui status kemalangan itu dan mendapati tiada sebarang laporan kemalangan jalan raya dibuat di mana-mana balai di kawasan tersebut.
Doktor yang mengesyaki kanak- kanak itu menjadi mangsa dera kemudiannya bertindak membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, berikutan laporan itu, polis menahan teman lelaki ibu mangsa, berusia 28 tahun kira-kira pukul 3 pagi ini bagi membantu siasatan. "Selepas disoal siasat, suspek mengaku memukul serta menampar mangsa sebelum dia rebah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ibu kepada kanak-kanak itu dikatakan pengsan selepas mendengar anaknya itu mati dan kini sedang dirawat di hospital yang sama. Difahamkan, wanita yang berstatus ibu tunggal berusia 25 tahun itu mempunyai hubungan intim dengan suspek sejak enam tahun lalu dan hasil perhubungan itu juga, mereka mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan.  Menurut Norel Azmi, polis turut mengambil keterangan daripada ibu kanak-kanak terbabit petang ini di bilik mayat hospital.  "Siasatan awal mendapati, suspek mengaku mendera kanak-kanak itu bersama teman wanitanya menggunakan objek tajam," katanya.  Sementara itu, bapa kandung kanak-kanak malang terbabit ketika ditemui di rumahnya dekat sini hari ini bagaimanapun enggan ditemuramah kerana masih dalam keadaan trauma.

No comments: