September 09, 2009

Artis Wanita bantu bawa pulang jenazah Nenek Mariam (Korea)

KOTA TINGGI: Seorang artis wanita terkenal menyumbang RM11,000 untuk membiayai kos membawa pulang jenazah Mariam Johari, 88, bagi membolehkan wanita warga Malaysia yang terkandas di Korea Selatan sejak 64 tahun lalu itu, dikebumikan secara Islam.
Artis itu yang enggan namanya disiarkan akan menyerahkan bantuan berkenaan kepada Wisma Putra di Putrajaya, hari ini.
Seorang pegawai Bahagian Konsulat, Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah berurusan dengan artis itu dan menerima surat daripada anak lelaki Mariam, Jelani Sonni, 72, yang meminta jenazah ibunya dibawa pulang secepat mungkin sebelum dibakar mengikut adat masyarakat Korea.
“Konsulat Malaysia akan berurusan dengan kerajaan Korea bagi mendapatkan kebenaran membawa pulang jenazah Mariam kerana Allahyarham sudah menjadi warga negara itu. Kita juga akan meneliti kandungan wasiat yang dikatakan ditinggalkan Mariam sebelum meninggal dunia. Sejurus mendapat kelulusan, jenazah Mariam akan dibawa pulang,” katanya.
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae yang dikatakan tidak sihat sejak empat bulan lalu, meninggal dunia ketika tidur di sebuah rumah kebajikan di Seoul, kira-kira jam 12.20 malam Sabtu lalu (waktu Malaysia).
Jelani yang menerima berita kematian ibunya, pagi kelmarin, bagaimanapun terkilan kerana Mariam dikatakan meninggalkan wasiat supaya dikebumikan mengikut adat masyarakat Korea.
Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila akhbar Kumpulan The New Straits Times (NSTP) menyiarkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor, dua tahun lalu.
Dengan bantuan Korea Broadcasting System (KBS), Mariam yang terkandas di Korea selepas dibawa tentera Jepun ke negara itu ketika Perang Dunia Kedua, akhirnya dipertemukan dengan tiga anaknya, Ramlah, 74, Jelani dan Jamnah, 67, di Seoul pada Julai 2007.
Mariam juga dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan, kira-kira dua minggu selepas itu.
Sementara itu, Jelani yang berniaga di Pasar Ramadan Perhentian Bas Taman Kota Jaya di sini, yakin jenazah ibunya dapat dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam di sini.
Beliau berkata, ramai ahli keluarganya dikebumikan di tanah perkuburan itu dan terletak berdekatan rumahnya serta Ramlah dan Jamnah.
“Kami memang nak dia (Mariam) dibawa balik ke sini (Kota Tinggi). Apa pun orang kata, dalam hati kami mak masih Islam. Apabila dia pulang ke sini dua tahun lalu dan mengucap, dia memang ingat agama dia. Bila difikir-fikir, saya sendiri belum tengok surat wasiat emak, hanya dimaklumkan mengenai wasiat itu menerusi anak saudara saya, Ahmad Onn. Sekiranya benar ada surat wasiat daripadanya, saya mahu tengok,” katanya.
Penyelidik KBS, Seo Kyu Won, yang dihubungi pula berkata, rakannya, Park Keon Young sering mengunjungi Mariam termasuk ketika wanita itu dalam keadaan tenat.
“Mariam sakit sejak Mei lalu tetapi kembali sihat. Namun sejak dua bulan lalu, Mariam tenat semula dan cuba menghubungi keluarganya di Malaysia. Mariam mahu pulang melihat anak-anaknya… beliau asyik menyebut nama Ramlah, Jelani, dan Jamnah. Mungkin ketika itu Mariam sudah tahu dia akan pergi. Malah, Mariam pernah berkata ‘Saya mahu pulang ke Malaysia kerana saya dilahirkan di negara itu, ini impian saya’,” katanya.
Seo berkata, anak tiri Mariam, Ji Yong Un, 53, tidak membantah sekiranya jenazah Mariam dibawa pulang ke Malaysia.
Ketika ini, jenazah Mariam masih disimpan di rumah kebajikan Gereja Roman Katholik Beon Bong dengan namanya diletakkan sebagai ‘Mariam Binti Johari’ dan di bawah jagaan keluarga Ji.
Bagaimanapun, keluarga Ji perlu dimaklumkan mengenai urusan membawa balik jenazah sebelum 1 tengah hari waktu Korea (12 tengah hari waktu Malaysia) hari ini kerana sekiranya gagal, jenazah wanita itu akan dibakar mengikut adat masyarakat Korea.

No comments: