August 06, 2009

Persidangan Ahli Majlis PBT Selangor Pada 13 Ogos Ini

SHAH ALAM, 6 Ogos - Kerajaan negeri bakal mengadakan Majlis Persidangan Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor 2009/2010 pada 13 Ogos ini di Dewan Jubli Perak, Ibu Pejabat Kerajaan Selangor, Shah Alam.
Persidangan yang dijangka bermula dari jam 9.45 pagi hingga 5.00 petang itu merupakan kali kedua diadakan setelah senarai Ahli Majlis penggal 2009/2010 baharu dilantik baru-baru ini.
Pada majlis itu nanti, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka merasmikan dan menyerahkan surat pelantikan tersebut kepada 288 ahli majlis.
Kira-kira 20 peratus daripada ahli majlis tersebut adalah muka-muka baru manakala selebihnya adalah ahli majlis tahun lalu yang dikekalkan.
Di samping itu, mereka juga turut membaca ikrar penerimaan jawatan tersebut sebagai tanda komitmen untuk berkhidmat untuk rakyat dan mendokong visi kerajaan negeri khusus dalam kebajikan melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Dalam pada itu, dua kertas kerja turut dibentangkan bagi memberi pemahaman kepada ahli majlis dan memperkasakan sistem penyampaian pentadbiran PBT di Selangor.
Persidangan ini merupakan program anjuran Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor).

No comments: