August 18, 2009

Pembinaan Kuil Di Seksyen 23 Tetap Diteruskan : Khalid

Pembinaan kuil di Seksyen 23 akan tetap diteruskan mengikut perancangan asal, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada masa yang sama, katanya, beliau akan memberi penerangan kepada penduduk Seksyen 19 dan 23 berhubung isu ini dan mahu semua pihak bertimbang rasa serta bertolak ansur. “Ia akan dapat diselesaikan jika semua pihak bertimbang rasa tentang usaha untuk menyelesaikan masalah.
“Untuk masa ini kita akan meneruskan usaha itu dan memberitahu penduduk Seksyen 23 dan meminta penjelasan dari penduduk Seksyen 19 bagaimana kita boleh dapat menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan merasmikan kempen Kibar Jalur Gemilang, di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.
Katanya, masalah kuil ini telah timbul sejak pemerintahan Barisan Nasional dan kini kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat cuba menyelesaikannya dengan cara baik. “Dari segi politik, masalah kuil ini adalah masalah dari kerajaan BN sebelum pakatan rakyat. Sebelum ini masalah ini sudah ada. Dan pakatan rakyat berusaha menyelesaikan masalah ini. Saya rasa ini masalah UMNO, UMNO telah membenarkan pembinaan kuil di Seksyen 19, tetapi oleh kerana kerajaan negeri berpendapat tempat itu tidak sesuai dan diterima oleh jawatankuasa kuil untuk memindahkan,” katanya.
Khalid bagaimanapun kesal dengan tindakan penduduk mengadakan demonstrasi sambil mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang dipercayai di dalangi pengikut UMNO-BN.
“Ini menunjukkan terdapat kerjasama diantara pakatan rakyat dengan rakyat kaum hindu untuk memindahkan dan dipersetujui juga oleh masyarakat di persekitaran Seksyen 19.
“Dan kita juga telah mencari tempat-tempat yang sesuai untuk dimana kita boleh alihkan kuil tersebut. Dan tempat yang kita rasa sesuai ialah Seksyen 23.
Protes yang dilakukan mereka ini adalah protes dari UMNO yang tidak ingin mana-mana kuil didirikan di Shah Alam,” katanya.
Menurut Tan Sri Khalid, pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 itu adalah dari persetujuan penduduk di Seksyen 19 dan mengalihkannya ke Seksyen 23 dengan alasan kepadatan penduduk.
Katanya lagi, pembinaan sesebuah pusat kematian atau ibadat adalah berpandukan kepada permintaan penduduk.
Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak penduduk Seksyen 23 telah menghantar memorandum bantahan pembinaan kuil di kawasan perumahan itu kepada kerajaan Selangor dan mengadakan demonstrasi bantahan.

No comments: