July 03, 2009

DAP DI KEDAH CUMA RIBUT DALAM CAWAN

Dalam apa juga percaturan, antara perkara yang paling menggembirakan sesuatu pihak ialah apabila lawan atau saingannya bermasalah. Tauke kedai makan sekali pun mungkin akan berkenduri pisang kalau tauke kedai lain yang bersebelahan dengannya tiba-tiba bercerai-berai. Perceraian itu mungkin tidak boleh menyebabkan hasil jualannya sendiri meningkat, tetapi sekurang-kurangnya memungkinkan pendapatan saingannya terjejas.
Dan baginya, itu sudah lebih daripada memadai.
Dengan menggunakan rasional yang sama, saya tidaklah berasa hairan apabila ada kawan-kawan saya dalam UMNO yang begitu ghairah terhadap riuh rendah yang dicetuskan oleh DAP Kedah sehari dua yang lalu. Ia merupakan reaksi yang dapat dijangka oleh sesiapa sahaja.
Secara peribadi, saya sebenarnya tidak teruja sangat dengan kalut-malut itu. Sedikit sebanyak pengalaman sebagai pemerhati politik menyebabkan saya berasa yakin apa yang berlaku antara DAP dan kerajaan Pakatan Rakyat (baca: PAS) Kedah itu tidak lebih daripada ribut dalam cawan, yang sedikit sebanyak ada pula unsur-unsur ‘kewayangan’nya.
Peristiwa itu memang boleh ditafsirkan dengan seribu satu macam. DAP, menerusi DAP Kedah, mengamalkan politik mengugut sebagai cara untuk menarik perhatian rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat; DAP sengaja menunjukkan kepada kaum bukan Melayu, Cina khususnya, bahawa parti itu tidak akan bertolak ansur dalam memperjuangkan hak-hak mereka, lebih-lebih kalau bersangkutan dengan isu-isu ‘kebabian’; DAP mahu mengalih perhatian daripada apa yang berlaku di Pulau Pinang dua tiga hari kebelakangan ini berikutan isu Kampung Buah Pala dan isu ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, dan bermacam-macam lagi.
Malah, kerana seperti yang selalu saya tegaskan, bahawa politik itu adalah permainan persepsi, maka bukanlah pula tidak boleh untuk kita beranggapan bahawa DAP mungkin sedang menggerakkan satu agenda perpaduan lain di kalangan kaum bukan Melayu sebagai tindakbalas agenda perpaduan yang cuba dilagukan oleh sebilangan pemimpin Melayu/Islam dalam PAS dan UMNO tempoh hari.
Dengan tampilnya DAP menjadi ‘hero babi’ di Kedah itu, tidak dapat tidak parti-parti yang dikuasai kaum Cina seperti MCA dan Gerakan terpaksa memberi tabik hormat kepadanya. Harus diingat, isu karakoak itu bukan isu DAP semata-mata. Bagi MCA dan Gerakan, ia bukan sekadar soal kepentingan bersama, malah juga makanan bersama. Jadi, janganlah hairan kalau esok lusa tulat mereka pakat duduk semeja.
Jangan hairan juga, ketika PAS dan UMNO baru cadang-cadang nak buat (itu pun tak jadi), mereka pula dah betul-betul buat.
Kalau DAP boleh memberi nasihat atau kata amaran terhadap niat PAS hendak duduk berbincang dengan UMNO mengenai hal-hal yang membabitkan kepentingan Melayu/Islam, saya tak fikir PAS berani memberikan kata nasihat dan amaran yang serupa jika DAP berhasrat untuk berunding dengan MCA dan Gerakan; sama ada berkaitan dengan babi atau berkaitan dengan apa pun.
PKR pun dua kali lima. Ia mungkin boleh menahan PAS daripada meneruskan hasrat berunding dengan UMNO, tetapi ia tidak mungkin boleh menahan DAP daripada berbaik-baik dengan MCA dan Gerakan.
Kalau PAS dan PKR mampu memberi kata dua sekali pun, DAP mungkin dengan selamba akan bertanya balik, ‘lu sapa?’.
Sama seperti UMNO yang kadang-kadang terkancing dengan kemahuan parti-parti bukan Melayu yang menjadi kerabatnya dalam Barisan Nasional, PAS dan PKR pun sebenarnya tersepit juga dengan kehendak dan kemahuan DAP. Dan mereka akan terus tersepit berkali-kali lagi pada masa akan datang.
Dan itulah bayangan kuasa undi bukan Melayu dalam konteks politik sekarang ini.
Sehingga menjelang PRU ke-13, kita akan dapat melihat lebih banyak drama-drama seperti yang dilakonkan oleh DAP Kedah. Percayalah bahawa setiap kali PAS, atau UMNO cuba bergerak selangkah ke arah melakukan sesuatu demi kepentingan Islam dan Melayu, DAP akan mengorak dua tiga langkah bagi melakukan apa saja yang boleh demi kepentingan kaum yang diwakilinya.
Jadi, nasihat saya kepada kawan-kawan di dalam UMNO, janganlah seronok sangat menyaksikan adegan-adegan seperti ini. Jangan leka kerananya. Fokus harus diberikan pada misi sebenar UMNO selepas dimalukan dalam PRU ke-12, iaitu; untuk memperkasakan semula parti yang agak teruk diperkosa oleh lawan (dan kawan) tempoh hari.
Masih terlalu banyak yang perlu UMNO buat kerana selama ini terlalu banyak yang ia tidak buat.
Kita boleh menjeling dan mengintai ke rumah orang sekadar untuk mengetahui apa yang berlaku di sana, tetapi janganlah sampai melupakan rumah sendiri yang koyak rabak di sana sini.
Bagi saya, pada bila-bila masa pun jua, adalah lebih baik memastikan tiang rumah kita sendiri tegak terpacak daripada mengharapkan rumah orang roboh berselerak!
Posted by jeanbara

No comments: