June 18, 2009

TUDUHAN YB ISA BATANG KALI CETEK PEMIKIRAN !

SHAH ALAM, 17 Jun – Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengulangi sekali lagi pendiriannya tetap mengambilalih pengurusan aset air negeri ini daripada pemegang konsesi yang terlibat pada harga yang munasabah dan tidak merugikan mana-mana pihak.
Demikian kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Mohd Abu Kasim yang mendakwa Kerajaan Negeri Selangor ingin mengaut keuntungan hasil daripada pembelian aset air tersebut adalah tidak berasas malah menyifatkannya sebagai cetek pemikiran.
Ini kerana sekiranya Kerajaan Negeri menguruskan sendiri aset air tersebut, tarif air dapat diturunkan berbanding pada masa ini, masing-masing dengan penurunan 10 peratus pada 2009, 20 peratus pada 2011 dan 25 peratus pada 2013 sekaligus program pemberian air percuma 20 meter padu pertama dapat diteruskan dan ini amat menguntungkan rakyat bukannya individu dan syarikat swasta tertentu sahaja sepertimana yang diamalkan pada pemerintahan lalu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sewajarnya menyelesaikan kemelut ini dengan bijak bukan sekadar melaungkan konsep ‘Satu Malaysia’ sahaja, malah perlu membuktikannya melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri memperjuangkan hak rakyat mendapatkan perkhidmatan air yang lebih efisyen dan berpatutan.
Justeru, sebagai pemimpin kepada bangsa Malaysia yang berdaulat lagi bermaruah seharusnya satu kata sepakat perlu dicapai dengan kadar segera serta sewajarnya Perdana Menteri, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional bersama-sama Kerajaan Pakatan Rakyat dapat mengenepikan kepentingan politik demi menjaga kebajikan rakyat di Selangor dan juga Wilayah Pesekutuan dalam usaha penstrukturan semula aset air tersebut.

No comments: