June 04, 2009

SALAHUDDIN AYUB, 6 TAHUN SEBAGAI KETUA PEMUDA !


Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-50 ini menyaksikan satu lagi sejarah, di mana ia merupakan perjalanan terakhir kepada Y.B. Haji Salahuddin Ayub di dalam Dewan Pemuda PAS Pusat setelah 6 tahun menerajuinya sebagai Ketua Pemuda, dan selama 24 tahun di dalam Dewan Pemuda PAS semenjak 1985. Jawatan beliau bakal disandang oleh timbalannya iaitu Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi. Pada Majlis Perasmian Muktamar malam tadi, beliau telah menyampaikan Ucap Utama terakhir selaku Ketua Pemuda dengan tajuk bertemakan 'MEMPERSADA PERJUANGAN'.Antara petikan Ucap Utama beliau yang menarik perhatian dan mendapat laungan takbir 'Allahu Akbar' yang paling menggegarkan dewan ialah apabila beliau berkata :"Pada saat kita berbangga dengan gandingan mantap golongan ulamak dan profesional dalam PAS, Dewan Pemuda PAS memperingatkan supaya jangan sekali-kali kita lupa kepada golongan aktivis parti yang merupakan paksi kekuatan perjuangan semenjak PAS ditubuhkan pada tahun 1951. Golongan ini merupakan orang-orang tua, pemuda-pemuda, dan muslimat yang tidak pernah meminta upah sama ada ganjaran atau jawatan dalam parti. Ramai di kalangan mereka ini yang hidup miskin dan berpendapatan sederhana, petani, nelayan, buruh dan orang-orang kampung yang cukup setia dengan perjuangan PAS. Mereka ini adalah golongan yang hanya mahu PAS menang, Islam menang. Itulah saja yang menjadi cita-cita mereka. Ada di kalangan mereka yang sanggup menjual tanah untuk membayar deposit calon PAS yang bertanding pilihan raya, walaupun dengan penuh sedar mereka yakin akan hilang wang pertaruhan itu. Ada di kalangan mereka petani miskin yang hanya ada beberapa petak sawah padi, belum pun masak padi yang mereka tanam, mereka telah membahagikan petak ini dengan berkata : "Kalau saya jual, hasilnya ialah untuk PAS." Para Muslimat PAS yang begitu setia memasak, membasuh pinggan mangkuk, membuat kuih-muih setiap kali diadakan program PAS, merayu undi setiap kali datangnya pilihan raya, begitu sabar dan berkorban mengizinkan suami-suami mereka berjuang di dalam PAS. Begitulah agungnya perjuangan mereka ini. Kesetiaan, keikhlasan, dan pengorbanan merekalah yang menjadikan PAS terus gagah di persada perjuangan hari ini. Mereka adalah 'unsung warrior' atau 'wira yang tidak didendang'."Muktamar kali ini juga memberi cenderamata sebagai tanda penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Y.B. Haji Salahuddin Ayub dan beberapa orang exconya yang bakal melepaskan jawatan kerana telah melepasi tempoh (usia), sepanjang berkhidmat di dalam Dewan Pemuda PAS Pusat.

No comments: