April 03, 2009

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berasa “sedih” dengan pelantikan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri Malaysia keenam

"Saya rasa sedih Najib angkat sumpah sebagai perdana menteri esok,” katanya sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau malam tadi.
Mengulas larangan menyentuh isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan keputusan kontroversi Sultan Perak dalam krisis peralihan kuasa BN di negeri tersebut, beliau berkata:
“Di Bukit Gantang, (kita) tidak boleh bercakap tentang Altantuya, (jadi) kita cakap pasal (P) Balasubramaniam.
“Kenapa akuan berkanunnya boleh bertukar? Hari pertama dia yakin (mengaitkan Najib dengan wanita Mongolia itu), hari kedua dia pakai topi dan terus hilang.”
Dr Wan Azizah mengulas misteri kehilangan penyiasat persendirian itu - kini dilaporkan berada di luar negara - yang pada awalnya mengaitkan perdana menteri dengan Altantuya pada 3 Julai lalu tetapi kemudian tiba-tiba menafikan kesemua kenyataan dalam akuan bersumpahnya.
Wan Azizah berceramah untuk calon PKR S Manikumar di sebuah rumah di Taman Ria Jaya, kira-kira 250 meter dari lokasi kekecohan antara polis dengan penyokong parti itu minggu lalu.
Majlis dalam keadaan hujan renyai-renyai tidak melemahkan semangat kira-kira 250 hadirin daripada pelbagai kaum.
Najib, yang menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah setia di Istana Negara pada jam 10.10 pagi tadi, menafikan terlibat dengan Altantuya, malah menjelaskan tidak pernah mengenali wanita itu.
Wan Azizah juga berkata, rakyat terkejut kerana pertama kali dalam sejarah pilihanraya seramai 15 calon menawarkan diri merebut kerusi itu, 7 April ini.
“Apa istimewanya Bukit Selambau sampai 15 orang mahu bertanding?” kata bekas ahli parlimen Permatang Pauh.
Sehubungan itu beliau menyeru pengundi agar tidak lupa memangkah Manikumar, calon nombor empat di kertas undi terbesar dalam sejarah negara.
Wan Azizah membuat seruan itu sambil membilang jarinya dalam bahasa Tamil dengan disambut gelak ketawa hadirin.

No comments: