April 26, 2009

Najib ketuai Umno Selangor bukti krisis kepimpinan serius

@Roslan Shahir Mohd Shahir
PAS Selangor melihat perlantikan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, sebagai suatu petanda betapa Umno Selangor berada dalam krisis kepimpinan yang sangat serius dan bakal membawa parti itu terus tidak relevan dan dipinggirkan oleh masyarakat dan rakyat di negeri ini.
Umno Selangor seolah tidak mampu bangkit setelah hilang kuasa kepimpinan di negeri ini selepas Pilihanraya Umum 2008 lalu, sehingga berpecah kepada beberapa kumpulan termasuklah yang menyokong bekas Menteri Besar Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan, Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Akibatnya tidak ada seorang pun anak Selangor di kalangan mereka yang didapati layak untuk memimpin parti itu di peringkat negeri sehingga terpaksa "mengimpot" Presidennya sendiri.
Meletakkan Presiden Umno sendiri sebagai Ketua Umno negeri, hanya akan terus menghangatkan perbalahan dan krisis dalaman parti itu kerana Najib sudah pasti tiada masa untuk memberikan tumpuan sepenuhnya bagi memimpin negeri yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
PAS melihat suasana ini akan mengakibatkan lebih ramai lagi pimpinan dan ahli-ahli Umno dipelbagai peringkat hilang keyakinan dan bosan dengan parti berkenaan lalu bakal menyertai parti kerajaan Pakatan Rakyat khasnya PAS di Selangor.
Untuk itu usaha bagi memberi penerangan dan memujuk mereka ini untuk bersama menyumbang tenaga dan fikiran untuk kebaikan dan masa depan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat akan dipertingkatkan lagi oleh PAS Selangor.
PAS Selangor bersedia menerima penghijrahan beramai-ramai pimpinan dan ahli-ahli Umno Selangor demi sama-sama menegakkan perjuangan bagi membela nasib dan masa depan ummah yang semakin pupus dari agenda perjuangan Umno di negeri ini.

No comments: