March 17, 2009

Setiausaha Politik Ali Rustam antara yang digantung


17/03/2009 6:07pm
KUALA LUMPUR 17 Mac - Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Saadun Basirun dan dua pemimpin UMNO Bahagian Bukit Katil merupakan antara yang digantung keahlian UMNO selama tiga tahun kerana didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO.
Saadun yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil serta dua lagi pemimpin UMNO bahagian tersebut didapati bersalah di bawah Perkara 5.1.2, 5.5.1, 5.5.2 dan 5.6.1 Tataetika Ahli UMNO yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik.
Dua lagi pemimpin terlibat ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hassan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.
Lembaga Disiplin UMNO mendapati ketiga-tiga mereka telah melanggar Tataetika Ahli UMNO ketika berkempen untuk Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
Ekoran itu Mohd. Ali juga bersalah di bawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.- Utusan.

No comments: