March 17, 2009

PKR mula siasat aduan Amizudin


BUTTERWORTH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memulakan siasatan berhubung dakwaan Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizudin Ahmat kononnya terdapat anggota parti itu menerima rasuah.
Panel siasatan empat anggota itu diketuai Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Halim Hussain.
Anggota lain ialah Timbalan Speaker, Tan Hock Leong (ADUN Machang Bubuk), S.Raveentharan (ADUN Batu Uban) dan Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerjak).
Panel itu mengambil masa tiga jam untuk mengambil keterangan daripada Amizudin di ibu pejabat PKR Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini.
Bercakap pada sidang akhbar selepas sesi siasatan itu semalam, Abdul Halim berkata beberapa orang lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan sebelum rumusan siasatan itu diserahkan kepada Badan Perhubungan PKR negeri dalam tempoh dua minggu lagi.
Katanya Amizudin dalam keterangan menafikan ada menyebut dua pemimpin parti itu terlibat rasuah dan perkara itu boleh dirujuk kepada kenyataan akhbarnya pada 5 Mac lalu.
Siasatan itu diadakan berikutan dakwaan Amizudin sebelum ini bahawa terdapat dua pemimpin PKR Pulau Pinang menerima rasuah daripada sebuah syarikat kuari di Seberang Perai pada sidang akhbar 27 Februari lepas.
Setelah berita mengenai sidang akhbar pertamanya heboh di dada akhbar, Amizudin tampil dengan kenyataannya pada 5 Mac lalu yang menafikan pernah menyebut bahawa dua pemimpin tertinggi PKR negeri terlibat dengan rasuah dan sebaliknya hanya menyatakan bahawa beliau mempunyai bukti kukuh "mereka" menerima sejumlah wang daripada perusahaan kuari.
Beliau juga mendakwa mempunyai bukti SMS dan slip bank yang menunjukkan sejumlah wang telah dimasukkan ke dalam akuan peribadi mereka. BERNAMA

No comments: