March 20, 2009

Gantung jawatan parti - Ku Li

KUALA LUMPUR 18 Mac - Calon-calon jawatan tertinggi parti yang didapati terlibat dalam politik wang perlu digantung daripada sebarang jawatan parti dan bukan sekadar dihalang bertanding.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, Lembaga Disiplin parti patut bertindak adil dan tidak membezakan hukuman ke atas para pengamal politik wang sekalipun mereka memegang jawatan berlainan dalam parti.
"Kalau benar bersalah patut dihukum, tidak boleh diberi amaran saja. Jangan pilih 'ikan bilis' saja, 'jerung' lepas," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kes politik wang melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta ejen-ejennya.
Semalam, Lembaga Disiplin memutuskan Mohd. Ali dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti bermula 26 Mac ini.
Tengku Razaleigh khuatir, perbezaan hukuman itu mampu mengelirukan rakyat dan ahli parti sehingga menyebabkan Lembaga Disiplin dilihat tidak berwibawa dan tidak konsisten.
"Jika rayuan Mohd. Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden itu diluluskan (oleh Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO), maka ahli-ahli lembaga itu mana nak letak muka, mereka harus letak jawatan," tegasnya.

No comments: