February 18, 2009

Pertemuan Dengan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi


15 Feb 2009
By Anwar Ibrahim
Saya meninggalkan sidang untuk berkunjung ke kediaman Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, ulama’ muktabar dunia Islam di pinggir kota Doha. Beliau ditemani puteranya Muhammad.
Syeikh Yusuf merupakan antara ulama’ besar yang menghulur sokongan tatkala saya dizalimi dan diaib lebih 10 tahun lalu. Ilmuan kelahiran Mesir ini telah menulis lebih dari 50 buah kitab yang mengupas pelbagai isu antaranya termasuk Islam: Tamadun Masa Depan.
Syukur kerana kesihatannya pulih meskipun kelihatan letih. Beliau dan keluarga turut menanyakan perihal Azizah tidak bersama.
Perbincangan antara kami pastinya menyentuh tragedi Ghazza, pemerintahan baru di Somalia dan juga rundingan penyelesaian isu Darfur di Doha.
Ketegasan beliau terpancar tatkala berbicara perihal dasar Presiden Bush yang rakus menyerang dan menakluk negara lemah. Beliau turut menyuarakan gesaan agar pentadbiran baru yang diterajui Presiden Obama untuk menumpukan usaha membanteras kemiskinan dan menyediakan kemudahan pendidikan.
Pun begitu Sheikh Yusuf menjelaskan pendirian Ittihad Ulama’ (Persatuan Ulama’ Sedunia) yang beliau pimpin terhadap pentadbiran Presiden Obama dengan menjamin kesediaan mengadakan dialog dengan syarat Amerika menghentikan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan serta berlaku adil terhadap rakyat Palestin.
Beliau terus menggalakkan saya meneruskan usaha mengukuh jaringan kerjasama antarabangsa serta menjelaskan pendirian dengan tegas.
Kami turut menyentuh perkembangan mutakhir di Malaysia dan Indonesia. Selain itu beliau mendorong usaha ke arah pembaharuan sambil meningkatkan usaha daawah dan tarbiyah.

ANWAR IBRAHIM

No comments: