February 18, 2009

Boleh keluar waran tangkap, Senator Hayati tidak hadir - Peguam


Dikirim pada Februari 18, 2009 oleh HermanSamsudeen
Oleh Muhammad Arif Ismail

SHAH ALAM, 18 Feb (Hrkh) - Setelah beberapa kali dipanggil untuk menghadapi perbicaraan, Senator Datin Paduka Norhayati Onn yang juga Timbalan Ketua Wanita Umno Selangor masih tidak hadir dan pihak Mahkamah bakal mengeluarkan waran tangkap.
Sepatutnya keputusan yang tertangguh sekian lama diumumkan hari ini. Namun Norhayati Onn tidak hadir ke Mahkamah Syariah yang terletak di bangunan Umno, Shah Alam.
Menurut Peguam Syarie, Muhamad Burok yang mewakili Mohd Suffian Abd Aziz yang ditemui selepas sidang Mahkamah 16 Februari lalu berkata, kes ini tertunggak selama tiga tahun yang bermula sejak September 2006 lagi.
“Hakim telah menetapkan 23 April ini, sebagai tarikh untuk mendengar keputusan semula. Tetapi beliau tidak datang pada itu, maka Mahkamah berhak untuk mengeluarkan waran tangkap kepada Senator tersebut.
“Namun sekarang ini, seolah-olah sudah ada pengecualian itu dan dia tidak diperintahkan untuk hadir,” katanya.
Tambah beliau, pada tarikh yang akan datang iaitu 23 April, kalau dia tidak hadir ke Mahkamah, saya berhak untuk memohon dikeluarkan waran tangkap terhadap Norhayati Onn.
Perkara ini adalah perlu kerana katanya, semua pihak patut menghormati Mahkamah dan jangan memperkotak-katikkannya.
“Kalau Norhayati pergi ke Mahkamah lain, dia tentu akan membuat perkara yang sama dengan Institusi mulia ini.
“Perkara yang menjadi kekecewaan kita ialah mereka yang memohon untuk menuntut fasakah takkan kamu tidak mahu hadir,” soalnya.
Muhamad berkata, jika Norhayati memberi alasan mewakilkan peguam maka ianya satu perbuatan yang tidak mencukupi kerana beliau terpaksa hadir ke Mahkamah, lebih-lebih lagi menyandang jawatan Senator Negara.
“Apabila menjadi Ahli Dewan Negara, dia perlu memberi penghormatan kepada institusi mahkamah.
“Kamu menfailkan kes fasakh sebab kamu percaya dan hormat kepada Mahkamah. Ini menjadi bukti kepada rakyat negara ini bahawa ciri-ciri untuk menjadi seorang pemimpin mahu pun senator tidak ada,” katanya.
Sementara itu, suami Norhayati, Mohd Suffian Abd Aziz yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Klang, meluahkan perasaan kecewa kerana sikap dan tindak tanduknya yang tidak menghormati Mahkamah Syariah.
“Sebagai Ahli Dewan Negara sekali pun, beliau patut mendahulukan keluarga. Walaupun beliau sebagai pemimpin, kita perlu mengharungi setiap masalah yang berlaku dalam keluarga pertamanya sebelum kita nak membela rakyat.
“Oleh itu, moral dia sebagai pemimpin adalah terjejas dengan teruk. Saya juga sebagai pemimpin iaitu pemimpin keluarga. Jadi, jika pemimpin tidak menghormati pemimpin, ini adalah satu perbuatan yang buruk,” katanya.- azm

No comments: