December 02, 2008

Jurutera geoteknik semakin diperlukan.. dimana mereka?

PELAKSANAAN projek-projek di tanah tinggi sering kali mengundang kritikan daripada orang ramai dan badan bukan kerajaan yang bimbang terhadap faktor keselamatan projek itu serta impaknya kepada alam sekitar. Namun begitu, dengan keluasan kawasan tanah pamah yang makin terhad untuk pembangunan, tanah tinggi terus menjadi pilihan pemaju.

''Apabila sudah tiada kawasan tanah landai untuk pembangunan, masyarakat mempunyai dua pilihan _ sama ada ke tanah tinggi atau ke paya. Dan pastinya banyak memilih tanah tinggi kerana persekitarannya yang lebih baik dan selamat berbanding paya,'' kata Timbalan Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM). Ir. Dr. Gue See Sew.

Beliau menegaskan, pembinaan di kawasan tanah tinggi tidak seharusnya dianggap berbahaya jika langkah-langkah mengurangkan risiko yang sewajarnya dilaksanakan oleh pihak yang terbabit dalam projek tersebut.

Sehubungan itu, keperluan kepada pakar dalam bidang kejuruteraan cerun akan meningkat di masa akan datang, ditambah pula dengan muka bumi Malaysia yang berbukit bukau, ujar Presiden IEM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Zaidee Laidin.

''Sehubungan itu, kini semakin ramai jurutera yang membuat pengkhususan dalam bidang-bidang kejuruteraan mereka,'' katanya pada sidang akhbar 'Peranan Jurutera dan Ahli Geologi Dalam Kestabilan Cerun' di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada sidang akhbar tersebut, Ir. Ahmad Zaidee menjelaskan perbezaan peranan ahli geologi dan jurutera geoteknik _ suatu bidang pengkhususan dalam kejuruteraan awam _ dalam projek-projek di kawasan tanah tinggi.

Beliau membuat kenyataan tersebut bagi menjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kenyataan-kenyataan pakar dalam media ketika mengulas kejadian tanah runtuh.
''Orang yang layak membuat kenyataan mengenai kestabilan cerun ialah jurutera geoteknik. Adalah salah untuk menganggap ahli geologi adalah jurutera geoteknik... kedua-duanya mempunyai bidang kepakaran yang berbeza,'' katanya.

Jelas beliau, jurutera geoteknik umumnya adalah jurutera awam yang mempunyai pengetahuan dan kelayakan tambahan dalam bidang kejuruteraan, yang lebih layak dan terlatih dalam kejuruteraan geoteknikal iaitu satu bidang kejuruteraan yang berhubung kait dengan tanih dan asas (foundation).

Manakala ahli geologi pula ialah saintis gunaan yang bidang kepakaran mereka ialah sains yang berkaitan dengan kerak bumi, asal usulnya dan permukaan struktur bumi.
''Ringkasnya, ahli geologi memperkatakan mengenai pembentukan sejarah tanih manakala jurutera geoteknik merangkumi penyiasatan, reka bentuk dan interaksi tanah dengan struktur buatan manusia.

''Sehubungan itu, ahli geologi secara bersendirian tidak dapat menilai kestabilan cerun dan kejuruteraan cerun, terutamanya cerun tanah. Ini kerana ahli geologi secara umumnya tidak dilatih atau berkelayakan untuk melakukan kejuruteraan cerun dan menilai kestabilan cerun,'' jelas beliau.

Bagaimanapun Ir. Ahmad Zaidee mengakui bahawa ahli geologi turut berperanan bersama-sama kumpulan profesional lain termasuk jurutera geoteknik untuk memastikan pembangunan di kawasan cerun adalah selamat.

''Dalam proses mengendalikan projek di kawasan cerun atau menilai kestabilan cerun, jurutera geoteknik ini biasanya dibantu oleh satu kumpulan yang terdiri daripada ahli geologi, jurutera awam, jurutera struktur, jurutera saliran, juru ukur tanah dan kumpulan profesional dan sub-profesional lain.

''Namun begitu, juruteralah yang menentukan perancangan dalam mengumpulkan data awal, menetapkan pengambilan contoh, ujian lapang dan juga ujian makmal yang diperlukan, sesuai dengan keperluan projek kejuruteraan itu,'' katanya.
Jurutera sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap projek itu perlu menurunkan parap (initial) atau tanda tangannya pada dokumen yang berkaitan, sekali gus menunjukkan tanggungjawab dan akauntabilitinya.

''Ini kerana dialah yang mempunyai kuasa dan bertanggungjawab atas semua analisis kejuruteraan, keselamatan reka bentuk dan pengawalseliaan pembinaan,'' kata beliau.
Tambahan pula, di bawah Akta Pendaftaran Jurutera Malaysia, setiap kesilapan yang berlaku pada struktur yang dibina adalah dipertanggungjawabkan kepada jurutera yang menandatangani dokumen projek itu.

Menyedari kerencaman kejuruteraan cerun ini, tidak semua jurutera awam yang mempunyai lesen amalan di bawah Pendaftaran Akta Jurutera boleh menjadi jurutera geoteknik.
''Daripada 15,000 ahli IEM, hanya kira-kira 100 orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut,'' katanya.

Justeru, kata Ir. Ahmad Zaidee, IEM tidak berhasrat untuk mengusulkan agar semua projek di kawasan cerun wajib mendapatkan khidmat jurutera geoteknik. Tambahan pula, beliau bimbang sekiranya kumpulan jurutera geoteknik yang kecil ini tidak berupaya menampung keperluan projek yang dilaksanakan di kawasan cerun pada masa sekarang.

''Umumnya, kumpulan jurutera itu sendiri mengiktiraf siapa di kalangan mereka yang mempunyai kelayakan itu... dan mereka akan mendapatkan pandangan daripada jurutera geoteknik sekiranya mereka merasakan projek yang mereka kendalikan memerlukan kepakaran sedemikian,'' jelasnya.
Menurut Ir. Gue, sejak 10 tahun lalu, semakin banyak jurutera projek yang mendapatkan pandangan atau nasihat jurutera geoteknik ketika mengendalikan projek mereka.
''Kos mendapatkan khidmat jurutera geoteknik tidak mahal, bahkan bagi mereka yang terlibat dalam projek berisiko tinggi tetapi dengan kos yang terhad, mereka inilah yang lebih perlu mendapatkan nasihat kepakaran itu,'' kata beliau yang merupakan seorang jurutera geoteknik.
IEM telah menubuhkan satu kumpulan khas bagi mengkaji amalan pembangunan di kawasan cerun di negara ini. Laporan penuhnya dijangka dikeluarkan dalam masa enam bulan lagi, dan IEM akan melihat sama ada perlu dibuat pindaan kepada amalan kejuruteraan yang dipraktikkan sekarang, jelasnya.

Ia antara lain akan mengkaji definisi kawasan yang memerlukan kepakaran jurutera geoteknik, mengenal pasti kepakaran yang diperlukan untuk mengendalikan kerja tersebut dan mengenal pasti bidang-bidang kepakaran lain yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan cerun.
''Kami berharap dengan adanya laporan itu nanti, pembangunan di kawasan cerun dapat dilakukan dengan lebih terancang dan selamat,'' tegasnya.

>SU: Dulu ada kawan tetapi dimanakah mereka, geologist, arkitek, engineer, tapi dimana mereka, tidak mustahil mereka ke luar negara yang dapat meberikan gaji dan ganjaran yg lebih lumayan..

No comments: