November 23, 2008

10,000 BAKAL HADIRI KONGRES KEADILAN KELIMASabtu, 22 November 2008

KONGRES Tahunan Nasional KeADILan kelima tahun ini akan menyaksikan kira-kira 10,000 orang membanjiri Stadium Melawati di Shah Alam termasuk 2,000 perwakilan dari 163 bahagian diseluruh negara.
Kongres yang dijangka bermula dengan persidangan sayap 2,000 anggota Angkatan Muda KeADILan dan Wanita pada 28 November ini dilihat sebagai bersejarah dan signifikan kerana ia diadakan buat pertama kalinya setelah kemenangan besar KeADILan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya pada Pilihan Raya Umum ke 12 Mach lalu.
KeADILan memenangi sebanyak 31 kerusi Parlimen menjadikannya parti pembangkang yang mempunyai blok terbesar dari segi jumlah kerusi di Dewan Rakyat.
Persidangan AMK dan Wanita dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali Al Attas.
Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail pula akan merasmikan Kongres Tahunan Nasional ke 5 keesokkan harinya serta menyampaikan ucaptama.
Ketua Umum, Anwar Ibrahim juga dijangka hadir dan memberikan ucapan beliau selepas ucaptama presiden parti.
Tema yang dipilih untuk kongres tahun ini pula sama dengan slogan parti pada PRU 12 iaitu Harapan Baru menandakan kesenambungan proses pembaharuan dalam sistem dan corak kerajaan yang ingin dibawa oleh KeADILan.
Menurut Setiausaha Agung parti, Sallehudin Hashim semua persediaan penganjuran persidangan kali ini berjalan dengan lancar dan tertib.
“Sebenarnya persiapan sudah dirancangkan kira-kira dua minggu sudah. Dalam tempoh 10 hari sebelum kongres persediaan semakin pesat. Tahun ini persediaan agak lebihlah, buat cara lebih meriah,” Sallehudin berkata.
Ini termasuk menjemput sehingga 2,000 pemerhati dari setiap bahagian termasuk Sabah dan Sarawak bagi upacara perasmian dan sesi awam persidangan.
Beliau berkata kongres tahun ini juga mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan penggunaan Stadium Melawati yang mempunyai kapasiti kira-kira 12,000 orang.
Dari segi logistik pengangkutan Sallehudin menerangkan pihak sekretariat pengurusan kongres akan menyediakan sebuah bas bagi membawa 40 anggota perwakilan daripada setiap bahagian.
Bagi melicinkan penganjuran kongres, sekretariat di ibu pejabat parti juga memanggil kesemua 13 setiausaha kerja negeri ke ibu pejabat KeADILan untuk bermesyuarat bermula 24 November bagi menyelaraskan semua aspek persidangan termasuk keselamatan.
“Untuk kawasan di luar yang agak luas kita akan menggunakan Rela. Manakala keselamatan di dalam dewan kita akan mendapatkan khidmat syarikat pengawal keselamatan awam.“Saya yakin kerajaan negeri Selangor akan memberi kerjasama dan begitu juga pihak polis,” tambah beliau.
Bagi perwakilan dari Sabah dan Sarawak, sebanyak 100 bilik hotel akan disediakan memandangkan mereka terpaksa menanggung kos tiket penerbangan ke Semenanjung kata Sallehuddin lagi.
Kerajaan negeri pula jelas beliau akan menganjurkan satu karnival di luar Stadium Melawati bagi memeriahkan lagi suasana persidangan tersebut.

No comments: