September 17, 2008

SELEPAS JUMPA PAK LAH, ANWAR JUMPA YG DIPERTUAN AGONG UTK TUBUH KERAJAAN BARU ....

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menunggu jawapan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat secepat mungkin bagi memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan demokratik. Iklan



Anwar berkata dalam pertemuan itu, beliau akan mengemukakan senarai nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telahpun memberikan komitmen untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tegasnya, selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Pakatan Rakyat akan memohon untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapat mandat penubuhan kerajaan baru.

Semua proses ini katanya, walaupun melepasi 16 September, namun ianya harus dilakukan secara teratur, aman dan demokratik menurut lunas-lunas Perlembagaan Negara.

Katanya, beliau memberikan masa kepada PM beberapa hari ini untuk membuat keputusan bertemu dengan Pakatan Rakyat seberapa segera.

"Saya fikir PM tiada sebab untuk tidak bertemu dengan kami (Pakatan Rakyat)," katanya.

Anwar menegaskan demikian dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Parti KeADILan Rakyat dekat sini. Antara pemimpin yang hadir ialah, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, AJK DAP Pusat, Tan Kok Wai.

Menurut Anwar setakat ini jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan melebihi 31 orang dan jumlah yang memberikan komitmen mereka bertambah dari masa ke semasa.

"Ini bukan omong kosong. Kita ada jumlah yang mencukupi. Kita sudah bersedia untuk melakukannya," kata beliau.

Selain itu beliau turut menegaskan jika selepas beberapa hari, tidak ada respons, pemimpin Pakatan akan bertemu dan menentukan tindakan selanjutnya," katanya.

Menjawab soalan wartawan, Anwar tidak menafikan antaranya adalah yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri serta lain-lain pemegang jawatan utama dari pelbagai parti.

Walaupun diasak pelbagai desakan wartawan meminta beliau mengemukakan senarai tersebut, Anwar bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana bimbang ahli-ahli parlimen tersebut akan diugut.

Katanya, apa yang penting Perdana Menteri harus memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan ISA dan sebarang bentuk sekatan kepada perubahan kerajaan.

Semalam, wakil dari Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Abdullah untuk mengadakan pertemuan.

Anwar berkata, mereka memberi masa kepada perdana menteri untuk berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menerima kehendak rakyat.

"Saya percaya beliau akan bertemu dan kita perlu menunggu hari ini atau esok," kata Anwar

Anwar turut berkata masa yang cukup perlu diberikan kepada Abdullah kerana Presiden Umno itu kini merupakan ahli politik yang kini dalam keadaan genting.

"Jadi, anda harus memaafkan beliau kerana beliau dalam keadan terdesak," katanya.

No comments: