May 26, 2008

UMNO NAK JADI HERO ISU AGAMA PULAK......

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Walaupun Umno-BN kelihatan ingin menjadi 'hero' dalam membawa isu-isu agama bagi menggantikan peranan yang selama ini dibawa oleh PAS, namun ianya tidak menjadi kenyataan.
Hal tersebut dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Harakah semasa menghadiri sidang dewan rakyat baru-baru ini.
"Umno hanya ingin kepada Islam sebagaimana yang dikehendaki Barat yakni mengambil Islam secara terpilih seperti yang terkandung di dalam Islam Hadhari," ujarnya.
Maka menurutnya, tidak hairanlah Islam dalam pentadbiran di negara ini dianggap sebagai agama tetapi tidak mempunyai kuasa secara berdaulat.
"Penganutnya boleh hanyut sehingga melakukan maksiat seperti contoh, juruhebah televisyen yang boleh memberikan salam ketika memulakan rancangan tetapi tidak menutup aurat sedangkan antara aurat dan salam, aurat adalah wajib.
"Inilah yang dikatakan sebagai Islam Hadhari yakni Islam bentuk baru yang diizinkan oleh kuasa Barat yang tidak boleh memberi kemuliaan umat untuk menangani kuasa-kuasa lain," tambahnya yang juga merupakan ahli parlimen Marang.
Jelasnya, pendekatan Islam Hadhari adalah serba boleh mengikut kehendak manusia tanpa berpandukan kepada al-Quran dan Hadis.
Oleh itu, tegasnya, tidak timbullah isu yang menyatakan bahawa Umno lebih ke depan dalam memperjuangkan isu-isu Islam ini selepas kegagalan mereka menarik pengundi dan rakyat dalam isu perjuangan bangsa khususnya Melayu.
Walau bagaimanapun, PAS katanya tetap komited dalam memperjuangkan Islam sebagai dasar kepada sistem pentadbiran dan kehidupan manusia tanpa mengira kaum, masa dan tempat.

No comments: